Budaya dan masyarakat Kaum Dusun

Pesta menuai atau Kaamatan

Pesta menuai yang juga disebut sebagai "Tadau Tagayo Kaamatan" merupakan perayaan tahunan masyarakat Dusun di Sabah yang diadakan pada setiap 30 dan 31 Mei. Menurut budaya turun temurun, Tadau Kaamatan diadakan selepas musim menuai padi untuk memuja semangat padi yang juga disebut sebagai "magavau" dalam bahasa Dusun. Secara detailnya, "magavau" merupakan salah satu daripada upacara terpenting dalam perayaan Tadau Kaamatan.[10]

Kini, majoriti kaum Dusun telah menganuti agama Kristian dan juga Islam. Walaupun Kaamatan masih dirayakan mengikut amalan tradisi tahunan, namun perayaannya sudah tidak lagi dibuat bagi memenuhi tuntutan adat dan tradisi spiritual nenek moyang, tetapi lebih kepada misi untuk memperingati dan menghormati adat dan tradisi nenek moyang. Hari ini, Kaamatan lebih simbolik kepada hari reuni bersama keluarga tersayang, dan juga hari untuk berpesta bagi kaum Kadazan-dusun. Secara domestiknya, Kaamatan hari ini dirayakan selari dengan tuntutan agama anutan dan juga kemahuan individu tersendiri; dengan pilihan samada mahu atau tidak menghidangkan makanan dan minuman tidak-halal seperti masakan daging babi dan arak. Pada peringkat negeri pula, pesta Kaamatan disambut dengan pelbagai warna warni tentatif pesta seperti persembahan seni tari kebudayaan, jualan tamu, warung minuman keras dan makanan tradisi, persembahan dan jualan kraftangan di rumah-rumah tradisi, pertandingan menyanyi sugandoi dan juga pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau.[11]

Pakaian Tradisional

Lazimnya, pakaian tradisi kaum Dusun disebut baju koubasanan, diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam yang ditatah-rias menggunakan pelbagai hiasan seperti manik-manik, bunga-bunga, butang berwarna, renda keemasan, labuci dan juga tenunan. Bahagian utama dalam baju tradisi dusun ialah baju, seluar dan siga bagi lelaki; dan bagi wanita pula blaus, sarung/gonop dan penutup kepala. Hiasan dan gaya pemakaian pakaian tradisi berbeza mengikut daerah dan boleh dirujuk di sini.[12]

Tarian Sumayau

Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun dari daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam erti kata lain disebut Mengahau. Oleh yang demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari keramaian dan sebagainya.[13]

Persembahan tarian diketuai oleh seorang Bobolian iaitu wanita yang telah lanjut usianya dan banyak serta dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Bobolian.[13]

Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil masa hingga lima hari lima malam. Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi(sejenis tampian besar) yakni untuk menghormati atau memuja gusi-gusi. Majlis tersebut juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal dunia iaitu sama seperti kenduri arwah yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.[13]

Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mula menari dan terus menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki agak perlahan jika dibandingkan dengan gerak tangan. Penari bergerak berinsut-insut dan perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton.[13]

Muzik tradisi

Pemalu gong pada musim Kaamatan

Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah diperbuat daripada bahan-bahan asli. Seperti contoh, suling (seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh bambu.

Alat-alat muzik di Sabah dikelaskan kepada Kordofon(tongkungon, gambus,sundatang atau gagayan), Erofon(suling, turali atau tuahi, bungkau dan sompoton), dan Idofon(togunggak, gong,kulintangan) dan membranofon (kompang,gendang atau tontog).

Alatan muzik yang lazim dimainkan di dalam upacara dan majlis Kadazan ialah gong, dan kulintangan. Paluan gong dengan iringan kulintangan biasanya berbeza mengikut daerah, dan paluan gong yang sering dimainkan di majlis kebudayaan rasmi ialah paluan gong daripada daerah Penampang.[14]

Kraftangan

Koleksi wakid dan barait pelbagai saiz

Kaum Kadazan-dusun menggunakan bahan asli dalam menghasilkan kraftangan, termasuklah bambu, rotan, lias, labu air dan kayu. Antara hasil kraftangan yang sinonim dengan etnik kadazandusun ialah wakid, barait, sompoton, pinakol, topi siung, parang dan gayang.[15]

Sebelum hasil kraftangan ini dipromosi dan dikomersialkan sebagai ikon fesyen dan juga khazanah kebudayaan negeri Sabah bagi kaum Kadazandusun, sebahagian daripada hasil tangan ini dahulunya digunakan warga kadazandusun secara praktikal dalam kehidupan seharian. Wakid dan barait digunakan untuk mengangkat barang, khususnya hasil kutipan dari kebun. Pinakol pula digunakan dalam upacara-upacara penting, seperti upacara perkahwinan dan juga kematian bergantung kepada warna manik pada pinakol yang digunakan. Sompoton pula digunakan masyarakat kadazandusun sebagai alat muzik. Parang dan gayang pula digunakan dalam aktiviti berkebun, menebas semak dan juga sebagai senjata pada zaman perang saudara yang secara tidak langsung telah membuatkan etnik kadazandusun pada zaman itu digelar sebagai pengait, ataupun pemburu kepala.[16]

Rujukan

WikiPedia: Kaum Dusun http://shilahadiman.blogspot.com/2012/03/berbezaka... http://www.dailyexpress.com.my/read/2159/a-history... http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/muzik.htm http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/pakaian.htm http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/tarian.htm http://studentsrepo.um.edu.my/4576/1/%5BHard_Bound... http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/2027/1/Genetic_... http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kadazan&d=243... http://kdca.org.my/ http://www.unesco.org/archives/multimedia/document...